Skip to main content

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Comments

Popular posts from this blog

Peranan keluarga dalam membentuk sahsiah anak-anak

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam k...

Kepentingan semangat patriotsme

Isu-isu yang berkaitan dengan semangat patriotisme kerap menjadi bahan perbincangan segenap lapisan masyarakat Malaysia. Hal ini kerana semangat patriotisme amat penting dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagal kaum dan agama. Tujuan utama semangat patriotisme ini sering diperkatakan adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan semua rakyat. Sebenarnya terdapat beberapa kepentingan atau kebaikan semangat patrlotisme di kalangan rakyat. Kepentingan pertama semangat patriotisme di kalangan rakyat adalah untuk memupuk dan mengekalkan semangat cinta akan negara. Dengan wujudnya semangat cinta akan negara di kalangan rakyat, pasti negara akan terus aman dan damai. Sesungguhnya anasir luar atau musuh negara amat menyukai jika rakyat Malaysia tidak mempunyai semangat patriotisme. Apabila keadaan ini berlaku, pasti negara akan mudah ditakluki oleh negara yang ingin menjajah lagi negara kita. Selain itu, semangat patriotisme juga dapat menjadi...

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU

Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan memb...