Skip to main content

Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.


Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.


Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Comments

Popular posts from this blog

Peranan keluarga dalam membentuk sahsiah anak-anak

Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.  Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.  Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ? Pada pendapat saya,jawapannya sudah pasti  tugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam k...

Kepentingan semangat patriotsme

Isu-isu yang berkaitan dengan semangat patriotisme kerap menjadi bahan perbincangan segenap lapisan masyarakat Malaysia. Hal ini kerana semangat patriotisme amat penting dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagal kaum dan agama. Tujuan utama semangat patriotisme ini sering diperkatakan adalah untuk memperbaiki dan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan semua rakyat. Sebenarnya terdapat beberapa kepentingan atau kebaikan semangat patrlotisme di kalangan rakyat. Kepentingan pertama semangat patriotisme di kalangan rakyat adalah untuk memupuk dan mengekalkan semangat cinta akan negara. Dengan wujudnya semangat cinta akan negara di kalangan rakyat, pasti negara akan terus aman dan damai. Sesungguhnya anasir luar atau musuh negara amat menyukai jika rakyat Malaysia tidak mempunyai semangat patriotisme. Apabila keadaan ini berlaku, pasti negara akan mudah ditakluki oleh negara yang ingin menjajah lagi negara kita. Selain itu, semangat patriotisme juga dapat menjadi...

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU

Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan memb...